MENU

Bertarikh: 07 Rejab 1440H/ 14 Mac 2019M.

Petikan Ucapan:

YB. Mejar (B) Dato' Haji Md. Anizam Bin Ab. Rahman (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan)

Pembangunan Lojing Highlands merupakan agenda yang dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bagi mempastikan setiap elemen pembangunan yang dirancang dan dilaksana disini menepati ciri-ciri pembangunan mapan. Disamping pembangunan fizikal, Kerajaan Negeri turut mengetengahkan produk-produk eko-pelancongan bagi dipromosikan kepada para pelancong dalam dan luar negara. Disamping kekuatan Lojing Highlands yang mempunyai pelbagai tarikan alam semulajadi seperti udara yang nyaman, bukit bukau, kolam air panas, dan kepelbagaian jenis gunung yang menjadi pilihan para peminat aktiviti mendaki seperti Gunung Yong Yap yang dikategorikan sebagai 'G7' oleh pendaki tempatan. Gunung G7 yang lain ialah Gunung Tahan dan Gunung Yong Belar di Pahang, Gunung Korbu, Gunung Gayong, Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat di Perak. Malah keunikan Bunga Raflesia ataupun pakma telah menjadi sinonim dengan Lojing Highlands. Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Kelantan telah mewartakan kawasan seluas 550 hektar tanah tinggi itu sebagai kawasan pemuliharaan Rafflesia. Kajian oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendapati Tanah Tinggi Lojing merupakan salah satu tempat yang mempunyai populasi Rafflesia ‘Kerrii’ yang terbanyak di dunia.

Pada hari ini, saya bersama YB Dato’ Kaya Setia Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan merasmikan Tapak ‘Base Camp’ Kemuncak Gunung Lojing Highlands. ‘Base Camp’ yang terletak berhampiran Masjid Long Tan, Lojing ini akan menjadi tapak pertemuan para pendaki dan peminat aktiviti lasak sebelum memulakan aktiviti di sekitar Lojing Highlands.

Dato’ Md Anizam Ab Rahman turut berkata;

“Inilah antara keunikan eko-pelancongan yang terdapat di Lojing Highlands. Keprihatinan Kerajaan Negeri yang berterusan menitik beratkan pembangunan Lojing Highlands juga tidak meminggirkan eko-pelancongan yang terdapat disini. Kerajaan Negeri amat menyedari bahawa eko-pelancongan merupakan satu aktiviti pelancongan yang dapat memulihara alam serta menyediakan satu ruangan tarikan pelancongan alam semulajadi dan ekologi buatan yang mampu menjadi pemangkin industri pelancongan Lojing”

Turut hadir Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ketua Jajahan Gua Musang, Ketua-Ketua Jajahan, Pengarah-Pengarah Jabatan Negeri dan Persekutuan dan Persatuan Malim Gunung Kelantan.