MENU

Pada 29/9/2012 (Sabtu) bertempat di Taman Tasik, Bandar Baru Gua Musang, Kelab Ikatan Keluarga, Riadah Dan Kebudayaan Pejabat Tanah Dan Jajahan Gua Musang (IKRAB PTJGM) dan Kelab Kebajikan Dan Sukan Majlis Daerah Gua Musang (KESUMA MDGM) telah menganjurkan Pesta Joran Merdeka 2012. Majlis ini telah dirasmikan oleh YABrs Ketua Jajahan Gua Musang merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Gua Musang. Pelbagai acara telah dipertandingkan sempena pesta ini antaranya pertandingan memancing, pertandingan pokok cantik, pertandingan tangkap itik serta pertunjukkan Motor Show 4x4 oleh Syarikat ISUZU. Hadiah-hadiah menarik turut disediakan oleh pihak penganjur antaranya pemenang pertandingan memancing membawa pulang wang tunai bagi Johan RM3000, Naib Johan RM1500, Ketiga RM1000 dan Keempat hingga Kesepuluh hadiah barangan elektrik. Manakala dalam acara pertandingan Pokok Cantik pemenang membawa pulang wang tunai untuk Johan RM300, Naib Johan RM200 dan Ketiga RM100. Untuk acara pertandingan tangkap itik seramai 35 orang peserta telah menyertai pertandingan dan 10 orang pemenang sahaja berjaya mendapat hadiah RM135 seorang. Di samping itu pihak penganjur juga menyediakan hadiah Cabutan Bonanza yang berupa sebuah motosikal, televisyen dan Telefon Pintar Samsung Galaxy TAB. Majlis juga turut diserikan dengan acara Cabutan Bertuah dan pemberian hamper kepada para pengunjung dan pemenang. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YABrs Ketua Jajahan Gua Musang, YBrs Penolong Ketua Jajahan Gua Musang, YBrs Setiausaha MDGM dan Ahli Majlis MDGM. Pesta ini bermula pada jam 8.30 pagi dan tamat pada 12.30 tengahari.